Sikap dan minat merupakan dimensi yang semakin menjadi tumpuan penyelidik masa kini kerana antara faktor yang membantu meningkatkan pencapaian para pelajar. Kajian ini bertujuan untuk membuat semakan terhadap instrumen sikap dan minat terhadap pelajar ekonomi tingkatan enam. Sikap dan minat masing-masing terdiri daripada 8 item dan 7 item. Bagi tujuan ini, seramai 145 orang pelajar tingkatan enam terlibat sebagai responden dalam analisis ini. Data dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan analisis penerokaan faktor (EFA) dan kebolehpercayaan diukur dengan Alfa Cronbach. Keputusan daripada EFA menunjukkan faktor untuk konstruk sikap dan minat dengan nilai Eigen masing-masing melebihi 1.0. Konstruk sikap mempunyai nilai KMO (Kaiser-Meyer-Olkin) 0.796 > 0.5 menunjukkan item-itemnya mencukupi untuk inter-korelasi dan ujian Bartlett adalah signifikan (Chi Square 388.591, p <0.05) nilai anti-image (Measure of Sampling Adequacy - MSA) untuk korelasi item melebihi 0.5. Satu item telah digugurkan kerana mempunyai nilai communalities kurang 0.3. Faktor sikap menyumbang sebanyak 46 peratus daripada varians keseluruhan. Konstruk minat mempunyai nilai KMO 0.798 > 0.5, ujian Bartlett adalah signifikan (Chi Square 386.657, p <0.05), nilai anti-image (MSA) untuk korelasi item melebihi 0.5. Sebanyak dua item digugurkan kerana mempunyai nilai communalities kurang 0.3. Faktor minat menyumbang sebanyak 50 peratus daripada varians keseluruhan. Analisis mendapati nilai Alfa Cronbach yang diperoleh masing-masing ialah 0.62 untuk sikap dan 0.82 bagi minat. Keseluruhan dapatan menunjukkan bahawa item-item bagi instrumen sikap dan minat sesuai digunakan sebagai pemboleh ubah berkaitan.
CITATION STYLE
Abdullah, I. F., Ismail, R., & Yin Yin, K. (2023). Pengukuran Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen Sikap dan Minat dalam Kalangan Pelajar Ekonomi Tingkatan Enam. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 8(1), e002041. https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i1.2041
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.