Peranan karya sastera sebagai medium menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat telah menjadi asas dalam kewujudan karya sastera. Novel kanak-kanak dihasilkan daripada persekitaran yang diambil daripada realiti kehidupan dan diolah dengan bahasa yang indah sebagai santapan pembaca. Bertitik-tolak daripada pegangan karya sastera merupakan cerminan masyarakat, perkara ini selari dengan pelbagai kes yang melibatkan kanak-kanak yang sering terpampang di dada akhbar mutakhir ini. Justeru, sebagai salah satu bidang ilmu yang turut menyumbang ke arah mendidik modal insan yang berguna, maka kajian ini dilakukan bagi menjelaskan secara kritis peranan persekitaran yang melingkungi kehidupan kanak-kanak terhadap perkembangan sahsiah dan tingkah laku kanak-kanak yang dapat dilihat dalam novel Suteki Da Ne Aleena (2013), Umairah dan Kuda Putih (2008) dan Memori Atikah (2002). Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif, iaitu kaedah kepustakaan dan kaedah analisis teks. Manakala, aspek persekitaran dalam novel dianalisis dengan menggunakan kelima-lima prinsip Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979, 1986), iaitu mikrosistem, mesositem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Dapatan kajian memperlihatkan perkembangan sahsiah, tingkah laku, emosi dan akademik kanak-kanak dipengaruhi oleh persekitaran yang berhubungan secara langsung dalam kehidupan kanak-kanak. Namun, persekitaran mikrosistem merupakan persekitaran yang paling dominan mempengaruhi kehidupan kanak-kanak. Kesimpulannya, persekitaran yang terdapat dalam novel kanak-kanak dapat dijelaskan dengan Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979, 1986) sekali gus memberi ilmu baharu kepada masyarakat dalam mendidik kanak-kanak menjadi individu yang cemerlang dalam kehidupan.
CITATION STYLE
Junaidi, R. (2020). Persekitaran Kanak-kanak: Satu Penelitian Terhadap Novel Kanak-kanak Terpilih. Pendeta Journal of Malay Language, Education and Literature, 11(1), 1–17. https://doi.org/10.37134/pendeta.vol11.1.1.2020
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.