Kajian tinjauan ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat perkaitan antara sokongan sosial keluarga dengan kemurungan dalam kalangan anggota Polis Jabatan Siasatan Jenayah di Selangor. Kajian ini melibatkan 336 anggota polis yang telah dipilih secara rawak sebagai responden dalam kajian ini. Borang soal selidik yang diisi sendiri oleh responden telah digunakan untuk mengumpul data kajian. Skala The Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21) oleh Lovibond, &, Lovibond (1995) telah digunakan untuk mengukur tahap kemurungan. Sokongan sosial keluarga (emosi dan instrumental) pula telah diukur dengan menggunakan Family Support Inventory for Workers oleh King, Mattimore, King dan Adams (1995). Hasil kajian menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara sokongan emosi (r = 0.296**, p ≤ 0.05) dan sokongan instrumental (r = 0.343**, p ≤ 0.05) dengan kemurungan responden. Kajian ini juga mendapati sokongan instrumental (β = 0.363) merupakan faktor peramal yang paling mempengaruhi kemurungan responden. Sehubungan itu, sebarang program intervensi berkaitan kemurungan dalam kalangan anggota polis haruslah memberi penekanan kepada aspek sokongan sosial keluarga kerana kajian ini telah membuktikan bahawa sokongan sosial keluarga adalah peramal kepada kemurungan.
CITATION STYLE
Johari, M. A., Ahmad, S. B., & Ismail, Z. B. (2021). Perkaitan Antara Sokongan Sosial Keluarga dengan Kemurungan dalam kalangan Anggota Polis Jabatan Siasatan Jenayah, Selangor. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(9), 154–165. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i9.1012
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.