Kajian ini membincangkan bahasa Jakun yang dituturkan oleh masyarakat orang asli Jakun. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan kosa kata dasar dan menentukan tingkat kekerabatan antara bahasa Jakun dengan bahasa Melayu purba. Kajian menggunakan teori leksikostatistik yang disarankan oleh Swadesh (1955) dan kaedah kualitatif deskriptif untuk menghuraikan data yang diperoleh di lapangan. Data kosa kata dasar diperoleh dengan menggunakan senarai 200 kosa kata dasar Swadesh (1955). Hasil kajian menunjukkan bahawa hubungan bahasa Jakun ini dengan bahasa Melayu purba adalah pada peringkat keluarga bahasa. Kajian ini menolak kenyataan Carey (1976) yang menganggap bahasa Jakun kini sudah hilang sifat keasliannya dan meminjam kosa kata bahasa Melayu sahaja. Kajian ini mendapati bahawa bahasa Jakun tidak meminjam bahasa Melayu tetapi bahasa Jakun merupakan salah satu cabang daripada bahasa induk, iaitu bahasa Melayu purba. Kesimpulannya, hasil kajian ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada kajian yang lebih banyak terhadap bahasa Jakun di tempat lain dan bahasa-bahasa orang asli yang lain.
CITATION STYLE
Kasim, M. R. (2021). Hubungan Kekerabatan antara Bahasa Jakun dengan Bahasa Melayu Purba: Satu Analisis Perbandingan Kosa Kata Dasar. Jurnal Bahasa, 21(1), 41–66. https://doi.org/10.37052/jb21(1)no3
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.