Kitab Barzanji atau nama sebenarnya Iqd al-Jauhar fi Maulid al-Nabiy al-Azhar yang menjadi warisan kesenian Arab diamalkan di Tanah Melayu dikritik dan dikecam kerana menukilkan cerita sirah Nabawiyyah yang lemah sumber kesahihannya. Semenjak bermulanya penulisan dalam tamadun bangsa Arab pada kurun ke-2H, cerita sirah Nabawiyyah yang dinukilkan sejarawan Arab sehingga sekarang adalah maklumat dan cerita yang hampir sama dinukilkan oleh pengarang Kitab Barzanji. Selaras dengan fakta tersebut, artikel ini cuba menjelaskan metodologi sejarawan Arab dalam menentukan kesahihan sesuatu maklumat dan berita yang diterima khususnya cerita sirah Nabawiyyah. Artikel ini juga cuba menjelaskan metodologi penulisan persejarahan dalam kalangan sejarawan Arab di awal kurun ke-2H. Daripada sumber premier persejarahan bangsa Arab dan juga sumber sekunder yang digunakan, hasilan penyelidikan ini menjelaskan bahawa Kitab Barzanji atau Iqd al-Jauhar fi Maulid al-Nabiy al-Azhar mengunakan metodologi al-istifdhah (kemasyhuran) selepas al-Quran dan Sunnah yang sahih dalam menentukan kesahihan sesuatu maklumat dan cerita yang sukar dinilai kesahihannya. Dapatan juga menunjukkan bahawa sejarawan Arab di awal kurun ke-2H menggunakan metodologi al-Tasahul (kelonggaran) dalam penulisan maklumat dan cerita persejarahan yang sukar dinilai kesahihannya. Terutamanya maklumat dan cerita yang tidak menyentuh persoalan aqidah.
CITATION STYLE
Abdullah, A. M. (2017). Metodologi al-Istifadhah (kemasyhuran) dan al-Tasahul (kelonggaran) dalam Kitab Barzanji. Dirosat : Journal of Islamic Studies, 2(1), 75. https://doi.org/10.28944/dirosat.v2i1.43
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.