Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dirangka hasil daripada persejarahan masyarakat majmuk di Malaysia yang telah membawa kepada peristiwa rusuhan kaum, yang terbit hasil daripada pelbagai faktor dan antara salah satunya adalah perasaan tidak puas hati terhadap peluang pendidikan antara kaum. Maka, keperluan terhadap perpaduan antara kaum, kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan sosial serta pembangunan insan sangat mendesak untuk dicapai. Justeru, pada tahun 1970 kerajaan menubuhkan Rukun Negara bagi mencapai perpaduan antara kaum, mencipta masyarakat yang adil, kemakmuran negara dinikmati bersama, menjamin cara hidup masyarakat yang liberal tradisi dan budaya serta membina masyarakat yang progresif. Sehubungan itu, kesemua matlamat Rukun Negara ini dilandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) bagi mencapai matlamat perpaduan yang diterjemahkan melalui kurikulum pendidikan (Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan). Malahan, nilai-nilai yang terkandung dalam FPK ini telah terangkum nilai-nilai kewarganegaraan inklusif (inclusive citizenship) iaitu seperti keadilan, solidariti, perpaduan dan pengiktirafan diri. Oleh demikian, fokus kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana nilai-nilai kewarganegaraan inklusif yang terangkum dalam FPK diterjemahkan ke dalam dunia realiti pelaksanaan dasar pendidikan dan bilik darjah bagi mencapai matlamat yang diimpikan oleh FPK. Hasil kajian ini telah mengenalpasti lima faktor yang menjadi punca kelemahan dalam mencapai FPK seperti yang dibincangkan di bawah. Justeru, dengan pengenalpastian faktor-faktor ini membolehkan aktor pembuat dasar melihat dengan lebih jelas jurang di antara idea FPK dengan realiti dunia pelaksanaan dasar dalam mencapai perpaduan bangsa yang diinginkan.
CITATION STYLE
Che Awang, N., & Tayeb, A. (2022). Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Konsep Kewarganegaraan Inklusif: Antara Normatif dan Realiti Suatu Kajian Komprehensif. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(5), e001500. https://doi.org/10.47405/mjssh.v7i5.1500
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.