Perundingan merupakan salah satu bentuk interaksi sosial yang digunakan dalam proses perdamaian antara individu mahupun kumpulan yang berkonflik. Kemahiran penggunaan bahasa yang efektif dalam perundingan sangat penting bagi memastikan objektif perundingan dapat dicapai khususnya dalam pembinaan hubungan yang baik antara kedua-dua belah pihak. Kajian ini memberi fokus kepada cara Nabi Yusuf AS menggembleng bahasa dalam mengubah amalan sosial iaitu konflik antara baginda dengan saudara-saudaranya melalui wacana perundingan. Secara khususnya, kajian ini dilakukan untuk melakukan deskripsi terhadap dialog antara Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudaranya semasa proses perundingan menerusi penganalisisan terhadap i) penggunaan bahasa sebagai medium utama perundingan; dan ii) hubungan kuasa perunding dengan bahasa dalam perundingan. Artikel ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis wacana al-Quran, metode al-Jurjānīy serta analisis wacana kritis, metode Fairclough (1992; 2003). Wacana perundingan yang dipilih untuk tujuan analisis ini ialah teks dialog antara Nabi Yusuf AS dan saudara-saudaranya daripada surah Yūsuf dalam tiga fasa perundingan iaitu perundingan penyediaan bekalan makanan, perundingan penahanan Bunyāmīn dan perundingan perdamaian. Berdasarkan pendekatan analisis wacana kritis Fairclough itu, dimensi tekstual kajian ini meliputi modaliti, partikel dan struktur teks. Manakala dimensi amalan wacana dibataskan kepada daya ujaran sahaja. Analisis dimensi amalan sosial diperlihatkan melalui pertalian antara kedua-dua dimensi. Dapatan menunjukkan bahawa terdapat praktis sosial yang menggambarkan wujud penggunaan kuasa dalam wacana perundingan Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudaranya di samping penggunaan bahasa baginda yang bersifat persuasif, tegas dan santun yang membentuk hubungan sosial antara mereka.
CITATION STYLE
Zakaria, K., & Nordin, M. Z. F. (2021). Bahasa dan kuasa: analisis wacana bahasa perundingan Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudara Baginda. Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues, 6(1), 662–670. https://doi.org/10.53840/alirsyad.v6i1.194
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.