Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara kepimpinan transformasional pengetua dan motivasi guru di sekolah. Kajian dilakukan di daerah Kuantan dengan melibatkan sekolah-sekolah yang telah diklasifikasikan mengikut prestasi akademik. Kaedah tinjauan digunakan dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Seramai 351 responden telah menyertai kajian ini. Data yang dikumpulkan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package Social Science (SPSS) versi 28. Statistik deskriptif digunakan untuk menganalisis data secara umum, manakala ujian korelasi digunakan untuk melihat hubungan antara amalan kepimpinan transformasional pengetua dan motivasi guru. Hasil kajian menunjukkan bahawa kepimpinan transformasional pengetua berada pada tahap yang tinggi, begitu juga dengan tahap motivasi guru. Ujian korelasi menunjukkan terdapat hubungan yang kuat dan signifikan antara amalan kepimpinan transformasional pengetua dan motivasi guru bagi semua kluster, kecuali kluster 2 yang menunjukkan tahap sederhana. Kesimpulannya, kajian ini memberikan sumbangan kepada pemahaman mengenai pengurusan sekolah dan menggesa penyelidikan lanjut untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pengurusan sekolah bagi mencipta persekitaran kerja yang lebih kondusif untuk mencapai kecemerlangan sekolah. Hasil kajian ini juga boleh digunakan oleh pihak atasan seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai panduan dalam pemilihan dan pelantikan pengetua sekolah.
CITATION STYLE
Abdul Manan, A. F., Mohd Nor, M. Y., & Othman, N. (2023). Pengaruh Kepimpinan Transformasional Pengetua Terhadap Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah Mengikut Kluster di Daerah Kuantan. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 8(7), e002160. https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i7.2160
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.