Memiliki perbendaharaan kata yang luas merupakan faktor penting dalam mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa kedua dan ilmu-ilmu di dalam bahasa tersebut. Di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), bahasa Arab digunakan sepenuhnya sebagai bahasa perantaraan dalam proses PdP dan buku teks. Justeru, penguasaan para pelajar STAM terhadap kosa kata-kosa kata penting yang digunakan dalam buku-buku teks STAM wajar diberi perhatian. Namun, sejauh manakah tahap penguasaan pelajar-pelajar STAM terhadap kosa kata-kosa kata yang terdapat dalam buku-buku ini? Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap pencapaian para pelajar STAM dalam memahami kosa kata-kosa kata yang penting dan kerap digunakan dalam buku-buku teks mereka. Data korpus yang mengandungi teks dari sepuluh buah buku teks STAM telah dibina dan dianalisa untuk mendapatkan senarai kosa kata terbahagi kepada dua kategori iaitu mengikut 1) kekerapan penggunaan dan 2) kata kunci. Senarai kosa kata dan kata kunci tersebut kemudiannya diuji ke atas 115 calon STAM daripada tiga buah sekolah menengah yang dipilih. Dapatan menunjukkan para pelajar dapat menjawab ujian dengan baik bagi kategori kekerapan perkataan, tetapi agak sederhana di kategori kata kunci.
CITATION STYLE
Abdul Razak, Z. R., Samah, R., Jumingan, M. F., & Abu Bakar, M. S. (2016). Kebolehan Menguasai Kosa Kata Bahasa Arab dalam Buku Teks di Kalangan Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). International Journal of Language Education and Applied Linguistics. https://doi.org/10.15282/ijleal.v5.498
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.