Perubahan lanskap pendidikan yang beralih kepada penggunaan aplikasi teknologi menyaksikan ramai guru mengeluh kerana pelajar menjadi lebih pasif. Banyak kajian mendapati punca perkara tersebut adalah disebabkan oleh guru hanya mengaplikasikan soalan aras rendah dan sederhana yang menyebabkan pelajar menjadi semakin tidak berminat ketika sesi soal jawab dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Oleh yang demikian, kajian tindakan ini akan menganalisis perubahan tingkah laku dan respons pelajar terhadap kaedah PdPR yang menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi Taksonomi Bloom (1956). Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah pemerhatian sebagai instrumen pengumpulan data yang dijalankan terhadap lima orang pelajar kursus Kemahiran Berkomunikasi dalam Pengajaran Bahasa Melayu di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Petaling Jaya, Selangor. Pengkaji mereka bentuk kajian ini dengan membandingkan perubahan tingkah laku pelajar sewaktu menerima soalan aras rendah dan sederhana dengan soalan aras tinggi Taksonomi Bloom ketika mereka mengikuti kursus berkenaan secara dalam talian. Perbandingan kemahiran tersebut memfokuskan kepada enam aras soalan, iaitu aras rendah dan sederhana yang melibatkan domain pengetahuan, kefahaman, aplikasi makala aras tinggi melibatkan domain analisis, sintesis dan penilaian. Hasil kajian mendapati, empat daripada lima responden mengalami perubahan tingkah laku yang positif apabila menerima soalan domain aras tinggi, manakala seorang lagi tidak menunjukkan perubahan sikap dan respons. Kajian ini diyakini boleh menjadi saranan kepada para pendidik untuk kerap menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi seperti yang dijelaskan dalam Taksonomi Bloom supaya pelajar lebih aktif ketika mengikuti PdPR. Ini kerana, pendekatan pengajaran tersebut akan menghasilkan kesan yang lebih baik sekali gus dapat memperkasakan sistem pendidikan negara.
CITATION STYLE
Mohd Norazizi Samsudain, & Mardian Shah Omar. (2024). TINGKAH LAKU DAN RESPON PENGAJARAN DALAM TALIAN OLEH PELAJAR TERHADAP SOALAN ARAS TINGGI TAKSONOMI BLOOM. Journal of Human Development and Communication (JoHDeC), 12, 107–119. https://doi.org/10.58915/johdec.v12.2023.639
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.