Umum mengetahui setiap perkahwinan berpotensi untuk berdepan dengan cabaran dan masalah. Isu-isu kekeluargaan seperti kes penceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak dilihat merekodkan peningkatan yang luar biasa pada tahun 2020. Kesejahteraan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan berkeluarga. Islam sendiri memberi perhatian serius terhadap aspek kebahagiaan ini. Justeru, penulisan ini bertujuan melihat cabaran krisis rumah tangga yang memberi penumpuan kepada aspek spiritual (kerohanian) berasaskan konsep Maqasid Syariah dalam meningkatkan kebahagiaan keluarga. Metod kajian ini adalah berdasarkan kajian kualitatif melalui reka bentuk kajian skop (scoping review). Sebanyak 40 artikel telah dijumpai dan dipilih dari pangkalan data universiti seperti Online Public Access Catalog (OPAC), Proquest Central dan EBSCO-Host, bermula dari tahun 2010 hingga Disember 2022. Perbincangan perspektif maqasid syariah dalam memelihara institusi keluarga berfokus kepada lima teras prinsipnya iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan serta menjaga harta. Kajian mendapati bahawa praktis dan pengamatan nilai agama berasaskan Maqasid Syariah membawa kepada peningkatan kebahagiaan keluarga. Konklusinya, kajian ini amatlah penting sebagai panduan dan alat bantu bagi kaunselor mahupun badan-badan yang sentiasa berurusan dengan hal ehwal rumah tangga seperti Jabatan Agama Islam Negeri dalam membantu memberikan jalan penyelesaian kepada setiap individu yang memerlukan.
CITATION STYLE
Abdul Aziz, A. R. (2023). Penerokaan Nilai Agama Berasaskan Maqasid Syariah dalam Meningkatkan Kebahagiaan Keluarga. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 8(1), e002165. https://doi.org/10.47405/mjssh.v8i1.2165
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.