Buku teks merupakan indikator terbaik dalam mengukur dan melatih kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) khususnya dalam mata pelajaran Matematik kerana ia menepati sukatan kurikulum yang seragam di semua sekolah. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menganalisis secara empirikal dan sistematik berkaitan aras kognitif yang digunakan dalam buku teks Matematik Tahun 4 KSSR Semakan 2017. Sebanyak 921 soalan di dalam buku teks telah dikelaskan mengikut kod aras kognitif yang ditentukan oleh Model Kod Analisis Aras Kognitif Soalan sebelum diproses dan dianalisis secara deskriptif statistik menggunakan program SPSS Version 23. Dapatan kajian mendapati bahawa buku teks Matematik Tahun 4 KSSR Semakan memiliki aras kognitif soalan yang sederhana dengan bilangan soalan yang dominan pada Tahap Inferensi. Elemen KBAT yang terlibat pula lebih berfokus kepada kemahiran mengaplikasikan dan menganalisis. Dapatan ini menunjukkan bahawa aras soalan dalam buku teks Matematik Tahun 4 KSSR Semakan 2017 adalah lebih tinggi berbanding aras soalan dalam buku teks Matematik KSSR 2011. Penambahbaikan ini bersesuaian dalam menyediakan murid dengan kemahiran berfikir yang selari dengan ujian TIMSS.
CITATION STYLE
Abdul Azis, A. B., & Rosli, R. (2021). Analisis Aras Kognitif Bagi Soalan dalam Buku Teks Matematik Tahun 4 KSSR Semakan. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(3), 146–158. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i3.712
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.