Profesion keguruan merupakan salah satu daripada sektor sumber manusia dan perkhidmatan awam yang sangat mencabar. Selari dengan perkembangan sistem pendidikan dunia, kerjaya guru juga semakin mencabar. Bebanan tugas yang dihadapi oleh golongan guru semakin bertambah. Keletihan serta kelesuan yang berlebihan akibat daripada tuntutan bebanan kerja meningkatkan kebarangkalian wujudnya gejala burnout dalam kalangan guru. Maka kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap burnout dalam kalangan guru Matematik sekolah rendah serta hubungannya dengan faktor tekanan kerja yang dihadapi oleh para guru. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan digunakan dalam kajian ini. Seramai 51 orang guru Matematik yang dipilih melalui kaedah persampelan rawak mudah terlibat dalam kajian ini. Instrumen yang digunakan ialah instrumen soal selidik yang diadaptasi daripada Maslach Burnout Index (MBI) dan soal selidik faktor tekanan kerja. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan Statistical Package for Sosial Science (SPSS) versi 23.0. Analisis yang digunakan ialah analisis deskriptif dan analisis inferensi yang melibatkan ujian ANOVA serta Korelasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap burnout dalam kalangan guru Matematik berada pada tahap yang sederhana rendah dan tidak dipengaruhi oleh umur. Selain itu, terdapat hubungan positif signifikan yang sederhana antara tahap burnout dan faktor tekanan kerja dalam kalangan guru Matematik. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap burnout guru matematik masih berada pada tahap yang terkawal. Namun pihak sekolah dicadangkan agar dapat merangka tindakan yang lebih proaktif bagi membendung gejala burnout dalam kalangan guru dari terus meningkat.
CITATION STYLE
Basri, S., & Maat, S. M. (2021). Tahap Burnout dalam kalangan Guru Matematik Sekolah Rendah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(10), 226–234. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i10.1085
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.