Kajian ini bertujuan mengenal pasti hubungan dan pengaruh Pembelajaran Terarah Kendiri (PTK) terhadap Tanggapan Kebolehgajian Diri (TKD) pelajar Kolej Vokasional (KV) di Sabah, Malaysia. Kajian kuantitatif yang mengaplikasikan kaedah tinjauan cross-sectional ini menggunakan satu set soal selidik adaptasi untuk memungut data daripada 297 orang pelajar semester akhir yang dipilih sebagai responden. Analisis deskriptif menunjukkan bahawa PTK dan TKD pelajar dipersepsi pada tahap tinggi. Analisis Korelasi Pearson pula mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan, positif dan kuat antara PTK dan TKD pelajar. Sementara itu, analisis regresi mudah pula mendapati bahawa PTK mempunyai pengaruh yang signifikan dan merupakan peramal penting kepada TKD pelajar pada kadar 50.0%. Dapatan-dapatan kajian ini ialah bukti empirikal bahawa TKD yang menjadikan pelajar lebih berkeyakinan untuk bersaing dalam pasaran buruh selepas menamatkan pengajian boleh ditingkatkan melalui pengupayaan PTK. Justeru, dapatan kajian ini diharap dapat dijadikan panduan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sistem pendidikan KV dan juga penyelidikan dalam usaha meningkatkan kebolehgajian pelajar menerusi intervensi PTK.
CITATION STYLE
Gili, A., & Ambotang, A. S. (2020). Pembelajaran Terarah Kendiri dan Pengaruhnya terhadap Tanggapan Kebolehgajian Diri Pelajar Vokasional di Sabah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), 127–140. https://doi.org/10.47405/mjssh.v5i11.560
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.