Isu gelandangan merupakan suatu isu sosial yang masih memerlukan penelitian mendalam bagi mencari titik penyelesaian. Meskipun pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menyediakan pusat-pusat pemulihan dan jagaan bagi gelandangan, namun usaha ini seumpama penyelesaian sementara dan tidak bersifat kekal. Apa yang perlu diteliti dalam isu ini adalah faktor akar umbi yang mendasarinya seperti polisi kebajikan gelandangan, peningkatan kadar gaji minimum selain penyediaan kediaman mampu milik. Perkara ini yang sewajarnya dilaksanakan terlebih dahulu oleh pihak kerajaan. Keberadaan polisi yang berusaha dalam menjamin keselamatan dan kebajikan golongan gelandangan akan menjadi titik tolak yang membolehkan golongan ini dibantu dengan lebih efisien. Penambahan bilangan pusat pemulihan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan boleh dijadikan sebagai indikator yang memaparkan bahawa masalah gelandangan di negara ini bukan semakin pulih sebaliknya semakin parah. Hal ini adalah demikian kerana peningkatan pusat-pusat pemulihan merupakan suatu kanta yang memperlihatkan bahawa jumlah gelandangan semakin bertambah di Malaysia. Perkara ini merupakan caturan mudah permintaan dan penawaran, hukum permintaan yang tinggi menyebabkan berlakunya penawaran yang tinggi dengan jelas menunjukkan keadaan gelandangan di negara ini. Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya perlu menggerakkan aset-aset minda cendekiawan kerajaan untuk mencari penyelesaian yang lebih komprehensif dalam membendung masalah gelandangan ini. Kertas konsep ini akan membincangkan bentuk pemulihan dan penjagaan sedia ada bagi membolehkan pemahaman yang lanjut tentang isu gelandangan di Malaysia.
CITATION STYLE
Jasni, M. A., Hassan, N., Ibrahim, F., Kamaluddin, M. R., Omar, N., & Abu Bakar Ah, S. H. (2022). Meninjau Bentuk Pemulihan dan Bantuan untuk Gelandangan dari Institusi Kerajaan dan Organisasi Bukan Kerajaan di Malaysia. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(11), e001897. https://doi.org/10.47405/mjssh.v7i11.1897
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.