Amanah adalah nilai yang penting dalam sesuatu amalan kerja. Islam telah mewajibkan nilai ini meskipun melibatkan urusan kerja sesama manusia. Artikel ini menampilkan penekanan amanah dalam Islam berasaskan lapan teks ayat al- Quran dan pentafsiran al-Quran yang dikemukakan Ibn Jarir al-Tabari. Beliau iaitu Abu Ja‘far Muhammad bin Jarir al-Tabari telah menghasilkan Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an yang turut dikenali sebagai Tafsir al-Tabari merupakan antara karya tafsir terawal dan bersifat ma’thur. Dalam dunia pekerjaan, masalah integriti sering berlaku. Setiap umat Islam harus sedar bahawa integriti adalah prinsip al-Quran yang tidak patut diabaikan. Kajian ini penting untuk dijadikan garis panduan integriti kerja individu Muslim terutamanya di Malaysia dan seterusnya menatijahkan kerja yang diredai Allah lagi bermutu positif. Kajian ini mengaplikasikan kaedah penganalisisan data termasuk kaedah deduktif dan deskriptif yang digunakan untuk mendapatkan ayat-ayat amanah dalam al- Quran al-Karim dan menghuraikan fakta-fakta pentafsiran dalam karya Tafsir al-Tabari. Selanjutnya, data dianalisis bagi mendapatkan rumusan tentang aspek penekanan amanah dalam konteks amalan kerja. Dapatan kajian menunjukkan bahawa meskipun pentafsiran bercorak al-mat’hur di bawah pengaruh bahan ilmiah klasik, namun pentafsiran amanah sentiasa relevan dan bersesuaian untuk ditekankan dalam dunia pekerjaan sepanjang zaman. Islam amat mewajibkan perilaku amanah bagi menjayakan urusan kerja sesama manusia seiring dalam misi melaksanakan amanah daripada Allah SW.T. Rumusan paling penting ialah setiap ayat amanah yang ditafsirkan al-Tabari mempunyai pertalian erat dengan dunia pekerjaan. Amanah terbahagi kepada dua bahagian iaitu amanah daripada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Dalam menjiwai amanah, seseorang Muslim perlu memahami bahawa Allah SWT telah menurunkan mesej amanah yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin. Kewajipan ini dapat dilaksana dengan kompetensi positif dalam diri pemimpin atau pekerja bawahan.
CITATION STYLE
Md Isa, M. Y. A. (2021). AMANAH DALAM PEKERJAAN MENURUT TAFSIR AL-TABARI. International Journal of Islam and Contemporary Affairs, 1(2), 58–74. https://doi.org/10.61465/jurnalyadim.v1i2.61
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.