Bidang formal yang terbaik adalah bidang pendidikan yang berupaya untuk meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup melalui pembangunan diri seterusnya mencorakkan masa hadapan individu itu sendiri. Justeru, sistem pendidikan yang mapan mampu untuk menarik minat anak-anak Orang Asli untuk meneruskan proses pembelajaran awal mereka di sekolah rendah. Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan panduan silibus 3M (membaca, mengira, menulis) untuk membasmi masalah keciciran literasi dan numerasi, namun silibus tersebut masih tidak berjaya mengurangkan masalah penguasaan dan keciciran pembelajaran dalam kalangan murid-murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua. Makalah ini merupakan kajian kualitatif bagi melihat kaedah dan inisiatif pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan oleh guru dan pihak Sekolah Kebangsaan Sungai Berua dalam proses pembelajaran anak-anak Orang Asli Sungai Berua. Bagi mencapai tujuan tersebut, sesi temu bual telah dijalankan bersama ibu bapa Orang Asli dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Berua untuk mengenal pasti inisiatif guru dan pihak sekolah serta persepsi ibu bapa dalam menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid Orang Asli. Hasil Kajian mendapati terdapat tiga inisiatif utama dalam proses pengajaran kepada murid-murid Orang Asli iaitu kesejahteraan pelajar (well-being), penglibatan ibu bapa (participation), dan pencapaian (achievement). Justeru, kaedah pengajaran bersertakan elemen kebudayaan Orang Asli turut digunakan untuk mengurangkan masalah literasi dan keciciran pembelajaran dalam kalangan murid-murid. Namun begitu, pihak guru dan sekolah juga berdepan dengan cabaran untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang mapan seperti budaya dan sikap murid, peranan penyertaan ibu bapa serta kekurangan kemudahan bantu mengajar. Kerjasama yang holistik perlu dilakukan agar masalah literasi dan keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli dapat dikurangkan.
CITATION STYLE
Yew, W. C., Md Ramlan, S. F., Ahmad, M. R., Ab Manaf, N., Lyndon, N., & Lim, J. W. (2021). Persepsi Ibu Papa Orang Asli Terhadap Pengalaman Pendidikan Anak-anak Orang Asli di Sekolah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(12), 24–39. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i12.1199
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.