Pengaruh media sosial seperti Facebook dalam pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan tidak dapat dinafikan lagi. Objektif utama kajian adalah mengkaji kesan interaksi pendekatan pembelajaran dan faktor jantina pelajar ke atas pencapaian subjek kimia secara kaedah pembelajaran berasaskan masalah (Problem Based Learning) melalui Facebook. Sampel kajian terdiri daripada 120 orang pelajar Kolej MARA yang telah dipilih secara rawak untuk menjalani rawatan PBL via Facebook selama sembilan minggu. Kajian kuantitatif ini menggunakan reka bentuk faktorial 2x2. Kesan utama yang dikaji adalah pendekatan pembelajaran (permukaan dan mendalam) dan faktor jantina (lelaki dan perempuan) serta interaksi kedua-duanya ke atas pencapaian dalam peperiksaan akhir subjek kimia. Hasil analisis deskriptif menunjukkan berlakunya peralihan pendekatan pembelajaran pelajar daripada pendekatan permukaan kepada pendekatan mendalam selepas menjalani rawatan PBL via Facebook. Hasil ujian Anova Dua-Hala pula menunjukkan bahawa kesan utama pendekatan pembelajaran terhadap pemboleh ubah bersandar pencapaian pelajar adalah signifikan merentasi jantina pelajar. Walau bagaimanapun, kesan utama jantina dan kesan interaksi antara kedua-dua pemboleh ubah bebas terhadap pencapaian pelajar adalah tidak signifikan. Hasil kajian ini penting kerana Kaedah PBL via Facebook didapati berupaya mendorong peralihan amalan pendekatan pembelajaran pelajar daripada pendekatan pembelajaran permukaan kepada pendekatan pembelajaran mendalam. Pendekatan pembelajaran mendalam seterusnya membolehkan pelajar untuk memperoleh pencapaian akademik yang lebih baik.
CITATION STYLE
Mohamed Sunar, M. S., & Shaari, A. J. (2017). Keberkesanan kaedah PBL via Facebook dalam kalangan pelajar Pra-Universiti. Jurnal Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 7(2), 52–71. https://doi.org/10.37134/jpsmm.vol7.no2.5.2017
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.