Sehingga kini, undang-undang Malaysia tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan bagi mereka yang melaksanakan hukuman korporal baik di sekolah mahupun di rumah, melainkan jika hukuman yang dilaksanakan itu menyebabkan kecederaan fizikal dan mental. Hal ini dikatakan demikian kerana hukuman korporal dianggap sebagai suatu tradisi dan amalan yang diterima secara meluas dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Di Malaysia, hukuman sebatan dan beberapa hukuman korporal yang lain masih menjadi amalan di sekolah dengan panduan dan tatacara yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, contohnya menerusi Peraturan-peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983. Walau bagaimanapun, kewajaran di sebalik pelaksanaan hukuman korporal sering dipertikaikan dan dianggap sebagai tidak relevan untuk dilaksanakan kerana mampu memberikan kesan negatif kepada anak. Oleh sebab itu, penulisan ini penting bagi mengkaji keperluan dan kerasionalan di sebalik pelaksanaan hukuman korporal, baik di rumah mahupun di sekolah. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah etnografi dengan menganalisis dan mengaitkan pelbagai teori dan beberapa aliran pemikiran jurispruden, seperti aliran pemikiran sosiologi, naturalisme dan utilitarianisme, terhadap isu pelaksanaan hukuman korporal kepada anak. Hasil kajian mendapati bahawa hukuman korporal secara dasarnya tidak diterima oleh majoriti ahli jurispruden sekiranya menyebabkan kecederaan dan kemudaratan kepada anak. Namun begitu, terdapat pengecualian bagi pelajar dan anak yang bermasalah yang dihukum dengan tujuan mendidik, tertakluk pada panduan yang disediakan supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada penerima hukuman. Pelaksanaan hukuman korporal ini hakikatnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri, bergantung pada cara penerimaan anak terhadap hukuman tersebut. Namun begitu, dalam aspek pendidikan sosial, hukuman ini didapati lebih memberi impak positif dalam pembentukan akhlak dan sahsiah anak.
CITATION STYLE
Kamal, N. D., Anuar, N. Z., & Ismail, S. M. (2022). Hukuman Korporal menurut Perspektif Jurispruden. Kanun Jurnal Undang-Undang Malaysia, 34(2), 185–200. https://doi.org/10.37052/kanun.34(2)no1
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.