Trend terbaru menunjukkan bilangan murid yang lulus mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah menengah semakin menurun. Antara punca yang dikenal pasti ialah Sejarah merupakan mata pelajaran yang amat membosankan dan susah untuk dipelajari kerana terdapat pelbagai fakta yang perlu dihafal. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk menilai kesan pengintegrasian permainan media Word wall terhadap minat, motivasi dan pencapaian murid sekolah menengah dalam mata pelajaran Sejarah. Kaedah kajian kualitatif telah digunakan untuk mengumpul data kajian. 20 orang murid yang sering gagal dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 telah dipilih dengan menggunakan kaedah persampelan tujuan. Empat sesi pemerhatian telah dilakukan semasa aktiviti pembelajaran dan pemudahcaaan (PdPc) berlangsung dalam kelas dan temu bual separa berstruktur telah dijalankan selepas empat minggu menjalankan aktiviti PdPc. Analisa data temu bual menunjukkan murid sekolah menengah mempunyai persepsi yang amat positif terhadap penggunaan permainan Word wall dalam pendidikan Sejarah. Di samping itu, kajian ini juga menunjukkan bahawa penggunaan permainan ini dalam PdPC Sejarah turut mengubah minat dan sikap murid untuk belajar mata pelajaran Sejarah yang amat sinonim sebagai mata pelajaran membosankan dalam kalangan murid sekolah. Aplikasi permainan ini juga berjaya meningkat motivasi intrinsik murid untuk belajar Sejarah. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa permainan Word wall merupakan salah satu permainan teknologi alternatif yang dapat digunakan oleh guru untuk diintegrasikan dalam aktiviti PdPC agar dapat meningkatkan motivasi dan pencapaian Sejarah di sekolah.
CITATION STYLE
Joon Woei, R. L., Bikar, S. S., Rathakrishnan, B., & Rabe, Z. (2021). Integrasi Permainan Media Word Wall dalam Pendidikan Sejarah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(4), 69–78. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i4.765
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.