Penulisan ini memfokuskan kepada pengamalan dan pendekatan serta peranan Tun Dr. Mahathir dalam penyelesaian krisis ekonomi 1997/98 dan menumpu kepada pembinaan konsep dinamakan sebagai Mahathiriskonomism. Secara jelas, Tun Dr. Mahathir memainkan peranan dan pembinaan “ism” berasaskan corak pemikiran dan model kepimpinan beliau membantu Malaysia keluar dari kemelut kegawatan krisis ekonomi tersebut tanpa memerlukan bantuan asing yang membelenggu sistem politik dan ekonomi negara. Krisis ekonomi 1997/98 berlaku secara mengejut bagi Malaysia dan menerusi proses pemulihan dilaksanakan kerajaan, ia berjaya dilakukan dengan pantas kerana wujudnya polisi yang dijanakan oleh pengurusan Malaysia sendiri. Mahathirisasi dan elemen pengurusan yang jelas, ditunjangi kekuatan kepimpinan dan sifat keperibadian Tun Dr Mahathir, bersama pasukan pengurusan profesional telah menzahirkan formula Malaysia dalam menangani krisis ekonomi 1997/98. Pendekatan menangani dan memulihkan krisis ekonomi 1997/98 mencetuskan formula dan konsep yang dinamakan sebagai Mahathiriskonomism. Kejatuhan nilai ringgit serta terjadinya krisis kewangan yang memberi impak kepada sektor ekonomi dilihat menjadi satu peristiwa yang merubah pendekatan pengurusan politik dan ekonomi di Malaysia. Krisis ekonomi yang berlaku memberikan impak terhadap Malaysia dengan menjejaskan wawasan serta perancangan pembangunan ekonomi serta menyebabkan gangguan terhadap perancangan untuk mencapai kemajuan yang disasarkan kerajaan. Krisis ekonomi 1997/98 memberikan kesan besar kepada pelbagai sektor terutamanya perbankan, kewangan dan korporat, dan ia juga merunsingkan pihak kerajaan. Proses menangani kegawatan dan melaksanakan pemulihan ekonomi, kerajaan Malaysia yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi mandat Barisan Nasional berjaya bertindak balas terhadap krisis tersebut dan memperkenalkan cara tersendiri berbanding dasar dan tindakan yang dipraktikkan oleh Thailand dan Indonesia yang menerima bantuan antarabangsa terutamanya IMF. Pengurusan secara profesional menerusi penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 7 Januari 1998 bertujuan menguruskan krisis ekonomi dan mengurangkan jurang antara sektor kerajaan dan swasta, dan ini merupakan langkah Mahathirisasi pentadbiran negara semasa krisis. Langkah MTEN yang diperkenalkan oleh kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan penghasilan satu kerangka tindakan di namakan sebagai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PPEN) yang diwujudkan berasaskan orientasi ke arah penstabilan nilai mata wang Ringgit Malaysia di pasaran mata wang antarabangsa telah memberikan kesan positif iaitu ia telah terbukti berjaya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran dan kedudukan ekonomi Malaysia. MTEN menerusi PPEN yang juga berorientasikan untuk mengekalkan kestabilan kewangan, mengukuhkan asas ekonomi dan ekuiti di dapati berjaya dilaksanakan dengan berkesan, dan ia menjayakan aplikasi Mahathiriskonomism dalam pengurusan negara semasa berhadapan krisis politik dan ekonomi.
CITATION STYLE
Shuib, Md. S., Keling, M. F., & Osman, N. (2020). Mahathiriskonomism: Memperjelas Peranan Mahathir Mohamad dalam Pengurusan Krisis Ekonomi 1997/98. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(12), 374–391. https://doi.org/10.47405/mjssh.v5i12.621
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.