Warisan budaya tradisional penting sebagai lambang identiti sesuatu masyarakat dan negara. Tamadun dan asal usul sesuatu masyarakat dapat diketahui daripada warisan budaya. Salah satu warisan budaya yang semakin pupus ialah budaya megalitik yang merupakan pengamalan batu besar dalam kehidupan masyarakat dahulu. Antara kawasan yang mempunyai batu megalitik ini ialah Kg Tobilung, Tambunan. Maka kajian ini bertujuan untuk memetakan batu megalitik di Kampung Tobilung, Tambunan sebagai pendokumentasian lokasi batu megalitik tersebut menggunakan aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS). Selain itu, analisis GIS menggunakan analisis penimbalan dilakukan untuk melihat jarak batu megalitik dengan sumbernya iaitu di sungai-sungai yang berdekatan. Hasil kajian ini menunjukkan GIS membantu dalam pendokumentasian budaya megalitik dengan menunjukkan lokasi letakan batu megalitik di Kampung Tobilung secara tepat dan menentukan sumber batu megalitik tersebut dengan mudah melalui jarak minimum batu megalitik dengan sungai-sungai berdekatan. Kajian ini menyumbang kepada bidang arkeologi melalui penemuan batu megalitik dan pendokumentasian ke atas batu megalitik tersebut. Di samping itu, melalui penceritaan bersama penduduk kampung, sejarah berkaitan dengan batu megalitik tersebut dapat diketahui dan seterusnya boleh dijadikan sebagai produk pelancongan pada masa akan datang. Pihak berkaitan juga boleh menjadikan hasil kajian ini sebagai panduan untuk melakukan aktiviti pemeliharaan ke atas megalitik ini agar ia tidak dirosakkan atau hilang.
CITATION STYLE
Kong, S. T., & Eboy, O. V. (2021). Kajian Taburan Batu Megalitik serta Penentuan Sumbernya di Kampung Tobilung Menggunakan Analisis GIS. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(2), 33–52. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i2.644
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.