Abstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka penerapan nilai matematik dan kefahaman nilai matematik dalam kalangan guru matematik sekolah menengah kebangsaan luar bandar. Kajian ini melibatkan tiga orang guru daripada sebuah sekolah menengah kebangsaan di daerah Kapit, Sarawak. Data kualitatif diperoleh melalui pemerhatian pengajaran bilik darjah, temu bual secara individu, catatan lapangan dan rancangan pengajaran harian. Kesemua sesi temu bual dirakam menggunakan alat perakam audio. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penerapan nilai matematik terlaksana dalam pengajaran secara tersirat, khususnya nilai objektisme. Guru-guru matematik mempercayai bahawa sesuatu yang boleh dinampak, seperti objek dapat membantu murid membina konsep matematik yang lebih kukuh. Dapatan ini juga memperlihatkan guru berperanan menerangkan konsep pada awal pengajaran, di samping contoh sebelum akhirnya menyuruh pelajar menyelesaikan masalah. Pengajaran matematik didapati lebih berpusatkan guru di mana guru akan mencuba memastikan pelajarnya mendengar segala yang diajar dan diarahkan oleh guru. Pengajaran sebegini dianggap oleh guru lebih berkesan dan mudah difahami pelajar. Dengan kecenderungan guru sebeginilah yang memungkinkan pelajar menjadi kurang berkeupayaan untuk berdikari dalam pembelajaran matematik mereka. Jadi, nilai matematik seperti rasionalisme yang mementingkan penghujahan murid dan nilai keterbukaan yang menggalakkan murid membuktikan sesuatu formula kurang dititik beratkan. Selain itu, dapatan ini memperlihatkan nilai matematik merupakan komponen nilai yang terlalu asing bagi guru yang terlibat dalam kajian ini. Ketiga – tiga sampel kajian ini berpendapat bahawa nilai matematik adalah sama dengan nilai- nilai murni, iaitu nilai pendidikan umum.
Cite
CITATION STYLE
Hui Nong, L., & Adnan, M. (2017). Penerapan nilai matematik dalam kalangan guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan luar bandar. Jurnal Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 7(2), 31–42. https://doi.org/10.37134/jpsmm.vol7.no2.3.2017
Register to see more suggestions
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.