Kaedah penulisan Rasm Uthmani merupakan kaedah yang digunakan di dalam penulisan al-Quran semasa pemerintahan khalifah Uthman Ibn Affan. Kaedah yang digunakan sangat istimewa kerana kaedah ini mampu meraikan keseluruhan qiraat serta khilaf bacaan yang wujud semasa penurunan al-Quran itu sendiri. Seiring dengan perluasan wilayah Islam, penulisan al-Quran ini menjadi dasar kepada bentuk penulisan bagi sesebuah tamadun khususnya di Asia tenggara sehingga diperkenalkan Tulisan Jawi . Penulisan Jawi dan Penulisan al-Quran mempunyai bentuk yang hampir sama kerana huruf-huruf Jawi adalah berpandukan kepada huruf-huruf Hijaiyyah. Justeru itu kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sandaran perbahasan bagi penulisan hamzah mengikut kaedah Rasm Uthmani dan mengikut kaedah penulisan Jawi. Selain itu kajian ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat keunikan serta perbezaaan penulisan hamzah bagi kedua-dua penulisan disamping menjadi nilai tambah bagi guru-guru tahfiz dan guru- guru KAFA ( Kelas al-Quran dan Fardhu Ain ) dalam usaha mereka untuk memperkenalkan penulisan al-Quran dan Jawi. Kajian ini menggunakan metode kualitatif dan instrumen kajian berbentuk pengumpulan data berdasarkan kajian perpustakaan terhadap sumber utama serta sumber sekunder bagi memenuhi dapatan yang diperlukan. Dapatan yang diketengahkan oleh pengkaji adalah berbentuk historis dan kajian perbandingan. Data yang telah dijumpai akan dikumpul, dianalisis dan diasingkan mengikut kategori berdasarkan pandangan Ulama’ Rasm dan para cendekiawan dengan mengambil kira dari sudut pengamalan dan antonasi sebutannya. Hasil daripada kajian ini mendapati kaedah penulisan serta pelaksaaannya meskipun menggunakan huruf yang sama metode yang diketengahkan adalah berbeza. Kaedah Hamzah di dalam quran lebih berfokus kepada kedudukan hamzah dan baris huruf hamzah serta huruf sebelumnya bagi menetapkan surah ( rumah ) yang akan ditulis padanya, sedangkan huruf Hamzah di dalam tulisan Jawi perbahasannya lebih kearah penulisan huruf hamzah dari segi kedudukannya berdasarkan konsonan bunyi ketika menyebut kalimah. Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukan meskipun huruf hamzah diguna pakai di dalam kedua- dua penulisan, namun kupasannya berbeza dan unik antara satu sama lain.
CITATION STYLE
Binti Illiashaq, ’Arifah Mursyidah, & A Adi, M. F. (2022). Kaedah Penulisan Hamzah : Kajian Perbandingan Menurut Kaedah Rasm Uthmani Dan Penulisan Jawi. QIRAAT: Jurnal Al-Quran Dan Isu-Isu Kontemporari, 5(2), 67–78. https://doi.org/10.53840/qiraat.v5i2.50
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.