Abstract
Dunia mengalami cabaran yang luar biasa hingga mengubah kehidupan normal manusia kepada norma baharu. Pengasingan sosial, penjarakan fizikal dan perintah kawalan pergerakan disebabkan oleh penyakit berjangkit koronavirus 2019, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan penurunan tahap aktiviti fizikal bagi kedua-dua jantina. Pengenal pastian faktor motivasi atau pemangkin kepada melakukan aktiviti fizikal akan dapat menyumbang kepada institusi berkaitan dalam merangka strategi untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal semasa pandemik. Kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor motivasi intrinsik dan ekstrinsik yang mempengaruhi penglibatan pelajar program Pendidikan Sukan dan Rekreasi (SUKRES), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam aktiviti fizikal semasa pandemik COVID-19. Kajian berbentuk kuantitatif menggunakan instrumen soal selidik yang diadaptasi dari “Exercise Motivation Inventory” (EMI) dan “Global Physical Activity Inventory” (GPAQ) dan dianalisis menggunakan perisian “Statistical Package for Social Science” (SPSS) versi 23.0. Kajian keratan rentas ini dijalankan semasa dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) merangkumi pelajar SUKRES UKM dari Tahun 1 hingga Tahun 4 yang sedang mengikuti pengajian secara atas talian “online distance learning” dan maklumat diperoleh menggunakan edaran soal selidik secara atas talian “google form”. Secara keseluruhan kajian menunjukkan majoriti pelajar Sukan dan Rekreasi Universiti Kebangsaan Malaysia kurang melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam perbandingan min antara faktor motivasi intrinsik dan ekstrinsik berdasarkan jantina namun didapati pelajar lelaki lebih bermotivasi intrinsik melakukan aktiviti fizikal manakala pelajar perempuan lebih bermotivasi ekstrinsik beraktiviti fizikal semasa pandemik COVID-19. Hasil kajian juga mendapati terdapat hubungan di antara motivasi ekstrinsik dan tahap aktiviti fizikal semasa pandemik yang mana boleh membantu pihak universiti dan institusi pengajian tinggi merangka strategi baharu bagi menggalakkan orang awam khususnya pelajar untuk terus melakukan aktiviti fizikal walaupun berdepan dengan wabak pandemik seperti mempromosikan pengamalan gaya hidup sihat di rumah dengan akses kepada fasiliti sedia ada di persekitaran rumah masing-masing.
Cite
CITATION STYLE
Mohd Zakari, N. A., & Muhamad, T. A. (2021). Motivasi dan Tahap Aktiviti Fizikal Semasa COVID-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(8), 109–120. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i8.963
Register to see more suggestions
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.