Pada masa kini, pertambahan jumlah pelajar sekolah menengah adalah semakin ramai pada setiap tahun. Fenomena ini telah mendatangkan masalah kepada penjanaan komposisi sisa pepejal yang tidak terkawal malah mencemarkan alam sekitar. Penjanaan komposisi sisa pepejal yang banyak merupakan masalah yang cukup rumit untuk diatasi. Oleh itu, satu tinjauan awal berkaitan penjanaan komposisi sisa pepejal dengan menggunakan cara kitar semula telah dijalankan di sebuah sekolah menengah di daerah Penampang. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis dan jumlah sampah yang dihasilkan oleh semua warga sekolah dalam masa sebulan pada hari persekolahan. Pengkaji telah menggunakan reka bentuk tinjauan dengan mengaplikasikan pendekatan kualitatif iaitu melalui temubual tidak berstruktur dan pemerhatian ikut serta dalam kajian ini. Populasi kajian adalah pelajar tingkatan empat, pekerja pembersih dan pegawai majlis daerah Penampang untuk mengukur dan menimbang jumlah sampah yang dihasilkan dalam sehari dan seminggu dengan menggunakan alat penimbang elektronik. Melalui pengiraan dalam bentuk peratus dan kiraan berat dalam kilogram. Hasil dapatan menunjukkan dengan jelas sisa pepejal terbanyak yang dihasilkan adalah sisa makanan iaitu sebanyak 75.63kg, kedua banyak adalah plastik 71.46kg dan ketiga adalah polisterina sebanyak 61.35kg daripada jumlah sisa pepejal dalam masa seminggu. Manakala sebanyak 38% daripada sisa pepejal yang dihasilkan oleh semua warga sekolah merupakan barangan yang tidak boleh dikitar semula dan sebanyak 34% merupakan bahan yang berpotensi serta boleh dikitar semula tetapi tidak boleh dijual kepada vendor. Manakala sebanyak 28% daripada sisa pepejal yang dijana terdiri daripada bahan yang boleh dikitar semula dan boleh dijual kepada vendor. Dengan jumlah komposisi sisa pepejal yang dihasilkan, maka pihak sekolah boleh mengambil langkah kitar semula untuk mengurangkan jumlah sampah yang akan dihasilkan dan dihantar ke tapak pelupusan. Oleh itu, pihak sekolah harus mengadakan pelbagai program kitar semula secara bersepadu dan memupuk amalan kitar semula melalui pedidikan di sekolah untuk mengatasi masalah ini. Program dan pengetahuan pelajar diharap dapat mengurangkan penjanaan komposisi sisa pepejal dan meningkatkan kebersihan kawasan sekolah dan alam sekitar.
CITATION STYLE
Min, C. O., & Mapa, M. T. (2020). Penjanaan Komposisi Sisa Pepejal terhadap Amalan Kitar Semula di Sekolah Menengah Datuk Peter Mojuntin, Penampang, Sabah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), 174–187. https://doi.org/10.47405/mjssh.v5i11.562
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.