Abstract
Kepelbagaian etnik yang terdapat di Pulau Banggi menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu kawasan yang memperlihatkan penggunaan pelbagai bahasa dan dialek. Walaupun bahasa Melayu dialek Sabah merupakan bahasa pengantar utama di Pulau Banggi, namun kepelbagaian bahasa telah mempengaruhi pemilihan bahasa penutur di kawasan tersebut. Salah satu daripada etnik yang terkesan ialah masyarakat Bonggi. Kajian ini bertujuan menganalisis pemilihan bahasa yang digunakan oleh masyarakat Bonggi dalam pertuturan harian dalam domain kekeluargaan. Responden kajian merupakan masyarakat Bonggi yang menetap di Pulau Banggi yang terdiri daripada 370 orang. Kajian ini menggunakan kaedah deskriptif berdasarkan pendekatan kuantitatif untuk mengumpul data. Soal selidik digunakan sebagai instrumen dalam kajian untuk mendapatkan maklumat pemilihan bahasa dalam domain kekeluargaan berdasarkan Teori Domain oleh Fishman (1972). Hasil kajian menunjukkan bahawa masyarakat Bonggi dominan memilih bahasa Bonggi dan bahasa Melayu dialek Sabah sebagai bahasa perhubungan dalam domain kekeluargaan. Dapatan kajian juga menunjukkan penggunaan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Dusun, Bajau, Ubian sebagai bahasa perhubungan dalam domain tersebut. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat segelintir penutur yang sudah tidak mampu lagi bertutur dalam bahasa Bonggi dan hanya mampu menguasai bahasa etnik lain dan bahasa Melayu dialek Sabah semata-mata. Kajian ini penting sebagai pencetus kepada usaha pelestarian dan pemeliharaan bahasa oleh masyarakat bagi memastikan bahasa Bonggi terus digunakan.
Cite
CITATION STYLE
Mansur, A., Razali, A., Hashim, N., Samsudin, N. H., & Mohd Bukhari, N. A. (2024). Pemilihan dan Penguasaan Bahasa dalam Kalangan Masyarakat Bonggi. Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, 32(S1), 29–49. https://doi.org/10.47836/pjssh.32.s1.02
Register to see more suggestions
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.