Tahun 2020 menyaksikan kemelut pandemik, Covid-19 telah menjadi pencetus ke arah perubahan gaya hidup masyarakat sejagat termasuklah Malaysia sama ada merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Perubahan secara drastik ini menyaksikan warga dunia pendidikan perlu mencari pelbagai penyelesaian alternatif bagi menangani isu pengajaran dan pembelajaran. Kertas kerja ini mengenal pasti tahap persediaan, penilaian kualiti pengajaran, persepsi, kepuasan, dan pengalaman bakal guru Bahasa Melayu terhadap pelaksanaan latihan mengajar dan industri (seterusnya LMI) dalam talian. Kajian ini menggunakan reka bentuk penyelidikan kuantitatif berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan instrumen soal selidik dan disokong dengan soalan respons terbuka. Sampel kajian ini terdiri daripada bakal guru bagi Program Bacelor Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama (PBMP) iaitu kohort Raksa. Sampel kajian ini dipilih secara rawak dengan melibatkan 21 orang daripada 39 orang yang menjalani LMI. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap persedian, kualiti pengajaran, persepsi, kepuasan dan pengalaman terhadap pelaksanaan Latihan Mengajar dan Industri (LMI) dalam talian berada pada tahap tinggi. Makalah ini juga akan membahaskan isu kemanusiaan dan tuntutan akademik yang perlu dilunaskan oleh bakal guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan pedagogi secara dalam talian. Dapatan ini memberi implikasi terhadap kebergantungan bakal guru Bahasa Melayu terhadap penggunaan peranti, aplikasi mahupun perisian teknologi bagi membolehkan proses penyampaian ilmu dapat dilaksanakan dalam talian. Malah, bakal guru ini dilihat giat berusaha secara kreatif dalam memvariasikan proses pengajaran dan pembelajaran secara digital sebagai memenuhi tuntutan akademik sebagai pelajar tahun akhir yang menjalani Latihan Mengajar dan Industri (LMI).
CITATION STYLE
Mohamed Mokhtar, M., Jamil, M., Omar, M. K., & Hassan, R. (2021). Digitalisasi Pedagogi Bakal Guru Bahasa Melayu sebagai Suatu Anjakan Pelaksanaan LMI dalam Talian: Pertimbangan Terhadap Aspek Fizikal dan Psikososial. Sains Insani, 6(1), 210–216. https://doi.org/10.33102/sainsinsani.vol6no1.271
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.