Keperluan tenaga pakar dalam mengurus, merancang dan melaksanakan operasi halal termasuklah pengurusan rantaian bekalan mendapat permintaan tinggi dalam industri ini. Tanggungjawab pengurusan halal yang betul adalah terletak di bahu seseorang Eksekutif halal di sesebuah syarikat produk halal. Pegawai Eksekutif halal hendaklah dilantik oleh syarikat bagi memenuhi keperluan yang telah ditetapkan oleh JAKIM. Tanpa Eksekutif halal sesebuah syarikat tidak layak bagi mendapatkan sijil halal kerana jelas telah dinyatakan di dalam Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia (MPPHM) dan juga Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) bahawa syarikat perlu melantik Eksekutif halal untuk mengendalikan urusan yang berkaitan halal dengan baik. Hal ini kerana terdapat sebilangan pengusaha industri makanan halal yang ditarik balik sijil halal mereka kerana sikap dan kurangnya kefahaman berkaitan amalan halalan toyyiban tetapi mendakwa mereka telah mempunyai individu berkemahiran dalam bidang halal. Tujuan artikel ini adalah bagi mengkaji dan menghuraikan peranan Eksekutif halal selaku salah seorang tenaga pakar yang diperlukan dalam industri makanan halal. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kajian kepustakaan dengan metode analisis kandungan dokumen yang diperlukan. Hasil kajian mendapati bahawa keberkesanan dan kejayaan industri makanan halal bergantung kepada keberkesanan dan peranan yang dimainkan oleh Eksekutif halal. Dapatan kajian mendapati bahawa Eksekutif halal memainkan peranan penting dalam pengurusan halal yang betul. Tanpa Eksekutif halal sesebuah syarikat akan menghadapi masalah terutamanya di dalam melaksanakan sistem pematuhan halal yang sistematik dan berkesan.
CITATION STYLE
Affendi, A. R., Yaakob, E., & Abd Halim, A. H. (2022). Peranan Eksekutif Halal Dalam Industri Makanan Halal. Journal of Fatwa Management and Research, 27(2-SE), 196–208. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol27no2-se.497
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.