Dalam sejarah Islam perbahasan tentang hadis palsu (mawḍū‘) telah berlangsung sejak dari timbulnya pemalsu-pemalsu hadis. Usaha untuk menjaga hadis Rasulullah SAW telah dilakukan oleh para ulama sepanjang zaman sehingga kini. Namun persoalan tentang hadis palsu tetap menjadi polemik apabila masih didapati riwayat-riwayat sintetik tersebar dalam masyarakat melalui penerbitan buku-buku, informasi dari media sosial melalui penulisan sebahagian penulis yang masih menggunakan dalil-dalil tanpa dinyatakan sumber dan hukum hadis tersebut. Situasi ini menyumbang kepada penyebaran hadis palsu dalam masyarakat. Kajian ini adalah kajian kualitatif melalui pengumpulan data daripada kitab-kitab hadis dan artikel jurnal yang berkaitan. Dapatan kajian menunjukkan meskipun penyebaran hadis palsu dilihat terkawal dalam penerbitan, namun ia tetap berpotensi mengelirukan masyarakat dan mencalarkan kesucian hadis. Ketika media sosial mutakhir ini menjadi medium penting sebaran maklumat, kebanyakan masyarakat lebih cenderung mendapatkan informasi sekali gus mudah untuk menyebarkannya. Implikasinya masyarakat tidak mengambil cakna berkaitan status sesuatu hadis sehingga amalan-amalan yang tiada sandaran daripada Rasulullah SAW semakin berleluasa. Walhal, Islam amat menitikberatkan penggunaan dalil-dalil yang sahih agar suatu penyampaian benar kepada pendengar. Rujukan, semakan dan penggunaan sesuatu ungkapan yang disandarkan kepada hadis dalam penerbitan di Malaysia perlu diteliti serta dipastikan sumbernya bagi menjamin keabsahan maklumat. Usaha untuk memastikan sifar hadis palsu dalam masyarakat tidak hanya tertumpu kepada medium penerbitan dan media sosial sahaja, tetapi ia merangkumi penyebaran maklumat tentang bahaya hadis palsu kepada masyarakat agar maklumat yang sampai kepada mereka adalah sebuah kebenaran yang pasti. Usaha ini dapat memelihara masyarakat Islam daripada termasuk dalam golongan yang diancam dengan balasan azab neraka kelak.
CITATION STYLE
Usman, A. H., & Nasir, M. N. (2022). Penyebaran Hadis Palsu Dalam Penerbitan Di Malaysia Dan Kesannya Kepada Masyarakat. HADIS, 12(23), 34–50. https://doi.org/10.53840/hadis.v12i23.182
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.