Abstract
Kemahiran literasi menulis merupakan suatu kemahiran asas yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua murid di sekolah rendah. Jika kemahiran ini tidak dikuasai akan menyebabkan proses pembelajaran mereka terjejas. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengetahui tahap penguasaan kemahiran literasi menulis bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun satu, membandingkan tahap penguasaan kemahiran literasi menulis bahasa Melayu antara murid-murid lelaki dan perempuan serta membandingkan tahap penguasaan kemahiran literasi menulis bahasa Melayu antara sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui ujian. Responden kajian ini terdiri daripada 105 orang murid SK, SJKC dan SJKT di sekitar daerah Segamat, Johor dipilih untuk menjawab ujian-tersebut. Kajian ini memfokuskan pada tahap penguasaan murid-murid dalam kemahiran menulis serta perbezaan tahap penguasaan kemahiran literasi dengan jantina dan jenis sekolah. Data yang telah dianalisis menunjukkan bahawa tahap penguasaan murid-murid dalam kemahiran menulis bahasa Melayu keseluruhannya berada pada tahap tinggi. Keputusan juga menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan tahap penguasaan kemahiran literasi menulis bahasa Melayu antara murid-murid lelaki dan murid-murid perempuan. Manakala keputusan perbandingan tahap kemahiran menulis dalam bahasa Melayu antara sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangasaan cina (SJKC) dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan. Maka, guru-guru bahasa Melayu perlu memainkan peranan yang penting supaya murid dapat menguasai kemahiran menulis.
Cite
CITATION STYLE
Chew, F. P., & Amir, S. A. (2023). Tahap Penguasaan Kemahiran Literasi Menulis Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Tahun Satu. Pendeta Journal of Malay Language, Education and Literature, 14(1), 74–87. https://doi.org/10.37134/pendeta.vol14.1.7.2023
Register to see more suggestions
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.