Abstract
Syahadah atau kesaksian menurut fiqh merupakan salah satu alat pembuktian yang kuat setaraf dengan iqrar (pengakuan) yang perlu dikendalikan dengan tegas tetapi pada masa yang sama mengambil kira aspek maslahah dan keadilan. Syahadah seperti yang diperuntukkan dalam statut keterangan mahkamah syariah (SKMS) di Malaysia adalah bersumberkan hukum syarak hasil dari kajian terperinci para penggubal undang-undang terhadap kitab-kitab fiqh pelbagai mazhab bagi memilih pandangan yang sesuai untuk dimuatkan dalam SKMS. Ini berbeza dengan kebanyakan peruntukan lain yang diadaptasi dari Akta Keterangan (AK) 1950 seperti keterangan dokumen dan pemeriksaan saksi atau pun yang melalui proses pengubahsuaian di antara peruntukan dalam AK 1950 dengan prinsip keterangan Islam seperti qarinah. Oleh kerana syahadah dalam SKMS diambil berasaskan hukum syarak dan kitab-kitab fiqh maka timbul isu dari aspek pemakaiannya pada masa kini apabila syarat-syarat syahadah yang diperuntukkan kelihatan masih agak sukar untuk dipenuhi bagi melayakkan keterangan seseorang saksi itu diterima sebagai syahadah. Implikasinya, kebanyakan keterangan yang dikemukakan di mahkamah syariah diterima sebagai bayyinah sahaja menggunapakai konsep keterangan yang diadaptasi dari pandangan Ibnu Qayyim al-Jawziyyah. Kajian ini cuba menganalisis asas dan sumber penggubalan bagi setiap peruntukan berkaitan syahadah dalam statut keterangan mahkamah syariah (SKMS) di Malaysia dengan perhatian khusus terhadap aspek-aspek syahadah setakat yang diperuntukkan yang hanya melibatkan definisi, syarat, bilangan, testimoni saksi atau tazkiyah al-shuhud (TS) serta keterangan dengar cakap. Berpandukan metode temubual dan kajian kepustakaan, penulis mendapati bahawa konsep syahadah dalam SKMS kebanyakannya berasaskan mazhab utama rujukan hukum syarak dalam sistem perundangan di Malaysia iaitu mazhab Shafi’i. Walau bagaimanapun, dengan sifat keterbukaan sumber hukum dalam SKMS seperti undang-undang Islam yang lain di Malaysia, pandangan fiqh dari sumber mazhab yang lain juga diterima dalam sesetengah situasi seperti penerimaan konsep bayyinah mengikut pandangan Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dan bilangan saksi yang mengambil kira juga pandangan dari mazhab Hanafi dan Hambali.
Cite
CITATION STYLE
Mohd Rapini, A., & Md. Noor, R. (2017). Syahadah dalam statut keterangan mahkamah syariah di Malaysia: asas dan sumber perundangan. Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues, 2(1), 35–58. https://doi.org/10.53840/alirsyad.v2i1.25
Register to see more suggestions
Mendeley helps you to discover research relevant for your work.